Friday, May 3, 2013

Boria

Tema: Kesihatan
Tajuk : Cegah Sebelum Parah

Boria  - Benci Dadah


Assalamualaikum, salam sejahtera
Salam 1 Malaysia buat semua
Warga SK Seri Setia ingin bicara
Bahaya dadah kepada manusia

Masalah dadah amat membimbangkan
Waspada selalu jangan diperdayakan
Perangi dadah habis-habisan
Demi negara yang kita sayang

Morfin, heroin, syabu dan ganja
Itulah dadah yang amat bahaya
Elakkan diri dari mengambilnya
Sayangi nyawa sayangi keluarga

Ramai yang HIV itu akibatnya
Mengambil dadah tiada batasnya
Hidup sengsara disisih keluarga
jadilah mereka bangkai bernyawa

Agensi Anti Dadah amat proaktif
Pelbagai kempen telah dilaksana
Generasi muda harus waspada
Bebaskan diri dari dadah durjana

Wahai teman,sahabat dan taulan
Bicara kami jadikan pedoman
SK Seri Setia ingin kongsikan
Benci pada dadah realitikan

Lirik  ini saya gubah untuk murid-murid Tahun 5 Wira SK Seri Setia sempena Hari PPDa peringkat sekolah.  

Thursday, May 2, 2013

Pelbagai Manfaat Bunga

Bunga Kantan

Bunga kantan digunakan sebagai bahan masakan terutama dalam masakan asam pedas dan kuah laksa. Aroma bunga kantan yang terdapat dalam masakan dapat membuka selera. 







Bunga Roselle

Bunga roselle boleh diproses menjadi jus minuman. Bunga roselle mengandungi kandungan vitamin C yang tinggi. Selain menjadi perasa minuman, jus roselle juga dapat menyejukkan badan dan melancarkan proses penghadaman.


Bunga Melur

Bunga melur mempunyai bau yang sangat wangi.Pati bunga melur digunakan dalam pembuatan minyak wangi. Minyak wangi daripada bunga melur dapat mewangikan badan.

Wednesday, April 24, 2013

Pulihara Tinggalan Sejarah

Terdapat pelbagai tinggalan sejarah di negara kita. Antaranya termasuklah bangunan kota dan artifak. Tinggalan sejarah menjadi bukti peristiwa yang berlaku pada masa silam dan menjadi bahan sejarah bangsa. Oleh itu, kita perlu memulihara bahan sejarah.  
 
 Beberapa langkah perlu dilakukan bagi memenuhi tujuan tersebut. Langkah pertama adalah dengan cara mewartakan bahan sejarah tersebut. Apabila bahan itu diwartakan, bahan itu dilindungi oleh undang-undang. Sesiapa yang merosakkan bahan tersebut akan dikenakan undang-undang.

Selain itu,bahan sejarah hendaklah dibaik pulih. Kerja baik pulih perlu dilakukan dengan berhati-hati agar struktur dan bentuk asalnya terpelihara. Malah, bahan yang hendak digunakan dalam kerja baik pulih perlulah sesuai dengan bahan sejarah tersebut.

Bahan sejarah juga perlu dimanfaatkan. Untuk tujuan ini, bahan sejarah ini perlu dijaga untuk kepentingan umum. Sebagai contoh, sesetengah bangunan bersejarah dijadikan muzium untuk dikunjungi oleh orang ramai.

Sesungguhnya, tinggalan sejarah menjadi bukti 
penting bagi sesuatu fakta sejarah dan perlu dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.







Tuesday, April 23, 2013

Peribahasa

Isi tempat kosong dalam ayat-ayat di bawah dengan jawapan yang paling sesuai.

1. Kathiravan mengambil sekeping roti berkrim sebagai _______sebelum pergi ke sekolah.
    
    A   ikat perut      B  alas perut        C  isi perut       D perut kosong

2. Penduduk Kampung Semerah Padi _______kerana mereka mendapat bayaran pampasan
    yang tinggi daripada pihak kerajaan.

    A   bagai bulan jatuh ke riba                          C  bagai duri dalam daging
    B   bagai kaca terhempas ke batu                D  bagai ayam disambar helang

3. Mak Jah hidup susah dan terbiar kerana tidak dipedulikan oleh anak-anak dan jiran 
     tetangganya_________.

     A   seperti rumput di tepi jalan                        C  seperti tikus jatuh ke beras
     B   seperti mendukung biawak hidup             D  seperti sudah jatuh ditimpa tangga

4.  Setelah berjaya menjawat jawatan yang tinggi di sebuah firma, Farid telah melupakan
      ibu bapanya di kampung seperti_________.

     A  enau dalam belukar                                    C   kacang lupakan kulit
     B  aur dengan tebing                                       D   dakwat dengan kertas

5.  Encik Hisyam memastikan semua anaknya mendapat didikan agama yang mencukupi
     kerana baginya ________.

     A  tepuk dada tanya selera                              C  segan bertanya sesat jalan
     B  harapkan pagar, pagar makan padi          D   melentur buluh biarlah daripada rebungnya 

Monday, April 22, 2013

Pantun "Negaraku Tercinta"


Burung helang terbang rendah,
Menangkap ikan di tengah kota;
Jalur Gemilang berkibar megah,
Lambang kebanggaan negara tercinta.






Asam paya di dalam guni,
Dibawa dari Pengkalan Hulu;
Rakyat Malaysia hidup harmoni,
Bekerjasama berganding bahu.






Wilayah Putrajaya indah berseri,
Ditanam bunga berwarna-warni;
1 Malaysia slogan Perdana Menteri,
Sentiasa dilaung di sana sini.








Rakyat berkumpul di Taming Sari,
Menyambut merdeka di kota Melaka;
Malaysia terdiri daripada 14 negeri,
Negara aman, bebas dan merdeka.








Tanam peria di pinggir kali,
Petik sebiji buat bekalan;
Negara ceria, indah sekali,
Nilai murni menjadi amalan.

Sunday, April 21, 2013

Ceria Minda

Kata kerja ini sering mengelirukan murid. Teliti gambar untuk menambah kefahaman anda.



                                                 Menjinjing atau membimbit sebaldi air


                                                                    Memikul 

                                     
Mengandar

                                                              
Menjulang


Menjunjung