Wednesday, April 24, 2013

Pulihara Tinggalan Sejarah

Terdapat pelbagai tinggalan sejarah di negara kita. Antaranya termasuklah bangunan kota dan artifak. Tinggalan sejarah menjadi bukti peristiwa yang berlaku pada masa silam dan menjadi bahan sejarah bangsa. Oleh itu, kita perlu memulihara bahan sejarah.  
 
 Beberapa langkah perlu dilakukan bagi memenuhi tujuan tersebut. Langkah pertama adalah dengan cara mewartakan bahan sejarah tersebut. Apabila bahan itu diwartakan, bahan itu dilindungi oleh undang-undang. Sesiapa yang merosakkan bahan tersebut akan dikenakan undang-undang.

Selain itu,bahan sejarah hendaklah dibaik pulih. Kerja baik pulih perlu dilakukan dengan berhati-hati agar struktur dan bentuk asalnya terpelihara. Malah, bahan yang hendak digunakan dalam kerja baik pulih perlulah sesuai dengan bahan sejarah tersebut.

Bahan sejarah juga perlu dimanfaatkan. Untuk tujuan ini, bahan sejarah ini perlu dijaga untuk kepentingan umum. Sebagai contoh, sesetengah bangunan bersejarah dijadikan muzium untuk dikunjungi oleh orang ramai.

Sesungguhnya, tinggalan sejarah menjadi bukti 
penting bagi sesuatu fakta sejarah dan perlu dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.







Tuesday, April 23, 2013

Peribahasa

Isi tempat kosong dalam ayat-ayat di bawah dengan jawapan yang paling sesuai.

1. Kathiravan mengambil sekeping roti berkrim sebagai _______sebelum pergi ke sekolah.
    
    A   ikat perut      B  alas perut        C  isi perut       D perut kosong

2. Penduduk Kampung Semerah Padi _______kerana mereka mendapat bayaran pampasan
    yang tinggi daripada pihak kerajaan.

    A   bagai bulan jatuh ke riba                          C  bagai duri dalam daging
    B   bagai kaca terhempas ke batu                D  bagai ayam disambar helang

3. Mak Jah hidup susah dan terbiar kerana tidak dipedulikan oleh anak-anak dan jiran 
     tetangganya_________.

     A   seperti rumput di tepi jalan                        C  seperti tikus jatuh ke beras
     B   seperti mendukung biawak hidup             D  seperti sudah jatuh ditimpa tangga

4.  Setelah berjaya menjawat jawatan yang tinggi di sebuah firma, Farid telah melupakan
      ibu bapanya di kampung seperti_________.

     A  enau dalam belukar                                    C   kacang lupakan kulit
     B  aur dengan tebing                                       D   dakwat dengan kertas

5.  Encik Hisyam memastikan semua anaknya mendapat didikan agama yang mencukupi
     kerana baginya ________.

     A  tepuk dada tanya selera                              C  segan bertanya sesat jalan
     B  harapkan pagar, pagar makan padi          D   melentur buluh biarlah daripada rebungnya 

Monday, April 22, 2013

Pantun "Negaraku Tercinta"


Burung helang terbang rendah,
Menangkap ikan di tengah kota;
Jalur Gemilang berkibar megah,
Lambang kebanggaan negara tercinta.






Asam paya di dalam guni,
Dibawa dari Pengkalan Hulu;
Rakyat Malaysia hidup harmoni,
Bekerjasama berganding bahu.






Wilayah Putrajaya indah berseri,
Ditanam bunga berwarna-warni;
1 Malaysia slogan Perdana Menteri,
Sentiasa dilaung di sana sini.








Rakyat berkumpul di Taming Sari,
Menyambut merdeka di kota Melaka;
Malaysia terdiri daripada 14 negeri,
Negara aman, bebas dan merdeka.








Tanam peria di pinggir kali,
Petik sebiji buat bekalan;
Negara ceria, indah sekali,
Nilai murni menjadi amalan.

Sunday, April 21, 2013

Ceria Minda

Kata kerja ini sering mengelirukan murid. Teliti gambar untuk menambah kefahaman anda.



                                                 Menjinjing atau membimbit sebaldi air


                                                                    Memikul 

                                     
Mengandar

                                                              
Menjulang


Menjunjung









Saturday, April 20, 2013

Kata Ganda

Isi tempat kosong dengan kata ganda yang sesuai.

1. Pawagam menjadi ________ setelah lampu dipasang menandakan filem telah selesai 
    ditayangkan.
    A    riuh-rendah        B   gelap-gelita       C   porak-poranda     D   terang-benderang

2. Baju Arif ________ kerana terkena warna air ketika mewarna.
    A comot-momot       B  koyak-rabak        C  serba-serbih         D   compang-camping

3.  Setiap hari kami terpaksa ________ di kawasan perkuburan itu kerana jalan itu merupakan
      jalan pintas.
     A  ulang-alik         B   bolak-balik         C  mundar-mandir         D lalu-lalang

4.  Razman berjalan ________ ke sekolah kerana kakinya terseliuh akibat terjatuh dari tangga
     semalam.
    A    terkial-kial       B    tersekat-sekat       C   terhuyung-hayang     D terhincut-hincut

5.  Operasi mencari dan menyelamat nahas helikopter telah diserahkan kepada pasukan
     Renjer kerana mereka lebih mengetahui________ hutan simpan itu.
     A    simpang-siur       B   selok-belok        C   lekak-lekuk         D   hiruk-pikuk      

Friday, April 19, 2013

Kebudayaan Malaysia

Tema : Kebudayaan Malaysia
Tajuk : Tarian Zapin




Negara kita kaya dengan seni budaya warisan seperti tarian tradisional. Tarian zapin sangat popular di negeri Johor. Tarian zapin merupakan tarian yang masih digemari hingga sekarang.

Kata Kerja

Isi tempat kosong dalam ayat-ayat dengan jawapan yang tepat.

1. Peniaga itu ________keuntungan dengan mengenakan harga jualan yang tinggi kepada 
    pelanggan-pelanggannya.
    A   meraih        B  mencapai     C  mengumpul       D  mengais

2. Banduan itu terpaksa ________ di penjara selama lima tahun akibat kesalahan mencuri.
    A   menetap        B   menginap       C   meringkuk       D  menumpang

3.  Anggota polis trafik akan ________ pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya.
     A   mendenda      B   memarahi      C   menyaman     D   menasihati

4. Semua murid di dalam kelas Enam Wira _________ untuk mendapat 5A dalam Ujian 
     Penilaian Sekolah Rendah.
     A   berebut         B   bersaing        C   berjuang       D   berlawan

5.  Pemain bola sepak pasukan Sekolah Kebangsaan Seri Setia ________ piala yang
     dimenangi oleh mereka sambil mengelilingi padang.
     A   menjunjung       B   menjulang      C   menatang      D   memikul 

Struktur Ayat

Pilih ayat yang betul.

1.   A  Ibu menyembelih ikan keli di dapur.
      B  Ibu menyiang ikan keli di dapur.
      C  Ibu menjerang ikan keli di dapur.
      D  Ibu memancing ikan keli di dapur.

2.   A  Kak Nita sedang memasak nasi di dapur.
      B  Kak Nita sedang membakar nasi di dapur.
      C   Kak Nita sedang memanggang nasi di dapur.
      D   Kak Nita sedang menanak nasi di dapur.

3.   A  Jangan bersandar pada dinding yang baru dicat itu.
      B  Jangan bersandar di dinding yang baru dicat itu.
      C   Jangan bersandar ke dinding yang baru dicat itu.
      D   Jangan bersandar dengan dinding yang baru dicat itu.

4.   I    Para-para peserta dikehendaki mendaftarkan diri pada hari Ahad depan.
     II     Azmi mencatat segala barang-barang yang hendak dibeli.
    III     Mahani sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kebakaran itu.
    IV    Berbagai-bagai jenis makanan dijual di gerai itu.
     
     A I dan III sahaja      B II dan IV sahaja     C III dan IV sahaja    D I, II dan III sahaja

5.   I    Sekumpulan murid sedang berkawad di padang.
     II     Di hujung padang itu terdapat sekawan kambing.
    III     Semua murid-murid harus mematuhi peraturan sekolah.
    IV    Di pangkal pokok rambutan itu terdapat banyak semut hitam.

       A  I dan II sahaja      B III dan IV sahaja     C I,III dan IV sahaja     D I, II dan IV sahaja 


Thursday, April 18, 2013

Buah Seribu Khasiat

Tema : Pertanian
Tajuk :  Buah Naga

Pokok buah naga serumpun dengan kaktus. Oleh sebab itu, tumbuhan ini tidak memerlukan air yang banyak untuk hidup. Pokok naga ini akan hidup subur di kawasan tanah berpasir. Selain itu, pokok ini ditanam secara organik, iaitu tanpa menggunakan sebarang baja kimia atau racun serangga.

Pada usia seawal enam bulan, tumbuhan ini akan mula berbunga. Tumbuhan ini berbuah sepanjang tahun tetapi akan berbuah dengan lebat serta bersaiz lebih besar sekiranya mendapat taburan hujan yang sangat banyak. Ada sesuatu yang unik tentang tumbuhan ini. Bunga buah naga ini hanya akan berkembang pada sebelah malam dan mula menguncup pada sebelah paginya. Buahnya pula boleh mencapai berat antara 150 gram hingga 500 gram.

Buah naga kaya dengan vitamin C dan beta kerotin. Buah ini bukan sahaja sedap dimakan mentah, malah dapat dijadikan jem, jus atau sirap. Buah naga kaya dengan pelbagai khasiat terutamanya dalam membantu sistem penghadaman, mencegah kanser usus besar dan penyakit diabetes serta merendahkan tekanan darah tinggi. Selain itu, buah naga dapat meneutralkan keracunan sumber logam, mengurangkan kolestrol, meringankan penyakit asma dan melegakan batuk.





Kata majmuk yang telah mantap

Kata majmuk yang telah mantap dieja dengan satu perkataan walaupun perkataan tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar.

Contoh ;  antarabangsa          pesuruhjaya
                bumiputera               setiausaha
                jawatankuasa           sukaneka
                kakitangan                kerjasama
                suruhanjaya              tanggungjawab
                tandatangan             matahari
                warganegara           sukarela       








Wednesday, April 17, 2013

Permainan Teka -Teki

Mari bermain teka-teki .

http://www.saujana.sg/Wiyata/PermainanBahasaSekolahRendah/TEKATEKI/tabid/4083/Default.aspx

Sinonim

Pilih perkataan yang sama maksud dengan perkataan yang bergaris.

1. Ketika fajar menyinsing, kedengaran bunyi kicauan burung dan kokokan ayam dari desa itu.
    A petang     B senja     C  malam     D  subuh

2. Encik Halim sekeluarga akan berhijrah ke Kelantan pada bulan hadapan.
    A   beralih     B berpindah      C bertandang    D berangkat

3. Bas yang membawa tiga puluh penumpang itu terjunam ke dalam gaung sedalam dua puluh 
     meter.
    A terlajak        B terjatuh        C  tergelincir     D terperosok

4. Hujan lebat yang turun sejak semalam telah menenggelamkan beberapa buah kampung di 
     daerah itu.
    A  kelmarin    B  hari ini        C  esok      D lusa

5. Rakyat Malaysia yang berbagai-bagai bangsa hidup dalam suasana yang harmoni dan   
     saling membantu.
    A berkira       B  berbilang     C bermasyarakat    D berkaum-kaum 

Kata yang tepat

Isi tempat kosong dengan pilihan yang betul.

1. Ubat ini amat _________ untuk sakit gigi.
    A hebat       B mujarab     C  berperisa      D  berkhasiat

2. Perempuan muda itu ________ dua baldi air di kiri dan kanan tangannya.
    A membimbit       B memegang       C mengandar        D mengangkut

3.Ranting-ranting pokok yang menghalang laluan itu telah _________ oleh Pak Abu.
   A ditakik       B ditebas        C ditebang       D dicantas

4. Kenderaan awam yang melalui jalan itu _________ beberapa jam akibat kemalangan jalan 
     raya.
   A terhenti      B tersekat        C terkandas       D terhumban

5. Rancangan hiburan yang menjadi _________ ramai itu tidak lagi ditayangkan di televisyen.
    A kecenderungan      B kesukaan        C keasyikan         D kegilaan



Tuesday, April 16, 2013

Arnab Berekor Kontot

Ada seekor buaya tinggal di sebatang sungai.. Di tebing sungai itu tinggal binatang lain seperti monyet,kerbau, kambing, lembu dan seekor arnab.Pada masa itu, arnab mempunyai ekor yang panjang seperti ekor musang. Timbul keinginan di hati buaya hendak makan arnab.

Buaya membuat helah dengan memanggil arnab untuk makan bersama-samanya. Arnab tidak tahu akan niat jahat buaya itu.Arnab pun melompat ke arah buaya sambil memakan rumput di situ. Buaya membuka mulutnya lalu menangkap arnab. Tangkapannya tidak begitu tepat. Arnab amat terperanjat tetapi tidak mudah tenggelam punca.

Arnab mendapat satu akal. Arnab berkata bahawa buaya tidak boleh mengaum seperti harimau. Buaya naik angin dan ingin menunjukkan kebolehannya mengaum. Buaya pun membuka mulutnya untuk mengaum. Arnab pun segera melompat keluar dari mulut buaya.

Sebahagian ekor arnab yang panjang itu sahaja dapat ditangkapnya. Arnab meronta-ronta sehingga ekornya terputus. Arnab berekor kontot hinggalah sekarang.

Teka Silang Kata

Permainan Bahasa - Teka Silang Kata .

http://btpnkl.edu.my/cerdiknet/bahan/b_melayu/Thn6/bmtp_th6_05.htm

Monday, April 15, 2013

Kata Penguat

Kata penguat sebagai penanda adjektif terbahagi kepada tiga iaitu:

a) penguat depan - agak, begitu, demikian, lebih, paling dan terlalu yang letaknya di depan   
     adjektif.
   
Contoh: agak besar
             begitu jelas
             demikian mudah
             lebih terang
             paling tinggi
             terlalu yakin

b) penguat belakang - benar, betul, nian, dan sekali yang letaknya di belakang kata adjektif.

Contoh: mahal betul
               indah nian
               bodoh benar
               jauh sekali

c) penguat bebas - sungguh, amat dan sangat yang letaknya boleh di depan atau di 
    belakang kata adjektif.

Contoh: amat kurus atau kurus amat
               sangat mahal atau mahal sangat
               sungguh cantik atau cantik sungguh

Kata Ganti Diri

Kata ganti diri ialah kata yang digunakan untuk mengganti kata nama orang. Kata ganti diri terbahagi kepada; 

i) Kata ganti diri pertama 
   aku, beta, daku, hamba, kita, kami, patik, saya

ii)Kata ganti diri kedua
   anda, awak, dikau, engkau, kalian, kamu, tuanku

iii)Kata ganti diri ketiga
    baginda, beliau, dia, ia, mereka.

Thursday, April 11, 2013

Permainan Congkak

Tema : Kebudayaan
Tajuk: Permainan Tradisional - Permainan Congkak




Negara kita kaya dengan seni budaya warisan seperti permainan tradisional. Antara
permainan itu termasuklah permainan congkak. Permainan tradisional dimainkan oleh generasi dahulu sebagai hiburan. Permainan tradisional juga dapat mengeratkan silaturahim. Oleh sebab itu, permainan tradisional ini perlu diperkenalkan kepada generasi sekarang.

Monday, April 8, 2013

Ayat Sama Maksud

Ayat Sama Maksud
- Menentukan ayat yang sama maksud merupakan satu daripada aspek penggunaan bahasa atau tatabahasa yang disoal dalam UPSR.

Pilih ayat yang sama maksud dengan ayat yang bergaris.

1. Diana menyelesaikan kerja yang diberikan oleh Cikgu Emylia dalam masa setengah jam sahaja.
    A Semua kerja yang diberikan oleh Cikgu Emylia setengah jam yang lepas telah disiapkan oleh Diana.
    B Kerja setengah jam itu akan diselesaikan oleh Diana seperti yang diarahkan oleh Cikgu Emylia.
   C Dalam masa setengah jam, kerja yang diberi oleh Cikgu Emylia dapat disiapkan oleh Diana.
   D Kerja yang diberi oleh Cikgu Emylia telah setengah jam yang lalu disiapkan oleh Diana.

2. .Pemuda itu dilanggar motosikal semasa dia melintas jalan raya.
    A Jalan raya yang dilintasi oleh pemuda itu sering berlaku kemalangan yang membabitkan pejalan kaki
       dengan motosikal.
    B Jalan raya yang dilintasi oleh pemuda itu sering berlaku kemalangan yang membabitkan pejalan kaki
       dengan motosikal.
   C Semasa pemuda itu hendak melintasi jalan raya, dia terlanggar motosikal.
   D Semasa pemuda itu hendak melintasi jalan raya, dia dilanggar motosikal.

3. Zaman remaja merupakan satu tempoh kehidupan yang diselubungi oleh harapan, cabaran dan ketegangan
   yang tertentu.
   A Masalah ketegangan telah menyebabkan remaja tiada harapan dan cabaran.
   B Harapan, cabaran dan ketegangan merupakan masalah yang biasa dalam tempoh kehidupan alam
      remaja.
  C Remaja diselubungi cabaran dan harapan kerana ketegangan dalam kehidupan.
  D Zaman remaja mesti menghadapi pelbagai harapan dan cabaran yang menyebabkan kerungsingan.

4. Akhlak yang baik merupaka manifestasi jiwa yang murni.
    A Jiwa yang murni ialah gambaran perlakuan yang mulia.
    B Jiwa yang murni sebati dengan akhlak yang sempurna.
   C Kemurnian jiwa sentiasa bersama akhlak yang sempurna.
   D Kemurnian jiwa tidak seiring dengan perlakuan yang sempurna.

5. Dalam era ledakan maklumat dan revolusi teknologi, keperluan untuk menuntut ilmu sebanyak yang
    mungkin sudah menjadi begitu penting.
   A Ilmu tidak sepenting ledakan maklumat untuk menjadi orang yang berjaya.
   B Ilmu pengetahuan sangat penting dalam era ledakan maklumat dan perubahan teknologi.
  C Teknologi maklumat tidak terlalu mementingkan ilmu pengetahuan yang banyak.
  D Revolusi teknologi dan ledakan maklumat adalah sama dengan ilmu pengetahuan.

Saturday, April 6, 2013

Simpulan Bahasa

Pilih jawapan yang betul.

1.Sebagai anak perempuan tunggal, Shalini menjadi _______ keluarga Encik Atan. Segala permintaannya
    dituruti termasuklah membeli barang-barang mewah.
   A anak angkat           C anak emas
   B anak buah              D anak pungut

2.Pelajar yang _______ itu dapat menjawab semua soalan matematik dalam masa dua puluh minit.
    A lipas kudung          C tawar hati
    B tajam akal              D telinga lintah

3."Nampaknya saya ________, sampai-sampai sahaja makanan sudah terhidang di atas meja", kata Ahmad
    kepada Haji Karim.
    A makan angin          C durian runtuh
    B langkah kanan        D tangkai jering

4." Jangan amalkan sikap makan _________,kita hendaklah mempunyai sikap bertanggungjawab
     terhadap pekerjaan yang diamanahkan kepada kita", kata pegawai itu.
     A makan angin          C panas hati
     B makan hati             D gaji buta

5. Encik Bahar dan isterinya telah dikurniakan _________ setelah lima tahun berkahwin.
    A  mata air                  C anak emas
    B  telinga gajah            D cahaya mata


Wednesday, April 3, 2013

Menulis Karangan - Teknik Rantaian Perenggan

Ada pelbagai teknik untuk mengajar murid menulis karangan.Saya telah mengaplikasikan teknik rantaian perenggan.Setiap kumpulan ditugaskan menulis satu perenggan daripada tajuk karangan yang diberi.
Kumpulan 1 - Pendahuluan, Kumpulan 2- Isi pertama, Kumpulan 3- Isi kedua, Kumpulan 4 - Isi Ketiga, Kumpulan 5- Isi Keempat dan Kumpulan 6- Penutup. Selepas itu, wakil setiap kumpulan akan menulis hasil perbincangan dengan mencantumkan perenggan mengikut urutan.Murid membaca perenggan yang telah disiapkan. Guru akan membuat pembetulan jika terdapat kesalahan.Akhir sekali murid menulis karangan ke dalam buku latihan.




Monday, April 1, 2013

Program i - THINK

01 April 2013  Program i- THINK

Program i - THINK bertujuan melahirklan modal insan masa hadapan yang mempunyai pemikiran kreatif, kritis dan inovasi. serta memupuk kemahiran pemikiran aras tinggi dan mampu berdaya saing.
Sebanyak sepuluh buah sekolah di daerah Hilir Perak menjadi perintis program ini dan sekolah saya adalah salah sebuah daripadanya.. Setiap bulan kami akan mengadakan program i - THINK sebanyak dua kali..Beginilah cara kami mengendalikan program tersebut.