Thursday, April 18, 2013

Buah Seribu Khasiat

Tema : Pertanian
Tajuk :  Buah Naga

Pokok buah naga serumpun dengan kaktus. Oleh sebab itu, tumbuhan ini tidak memerlukan air yang banyak untuk hidup. Pokok naga ini akan hidup subur di kawasan tanah berpasir. Selain itu, pokok ini ditanam secara organik, iaitu tanpa menggunakan sebarang baja kimia atau racun serangga.

Pada usia seawal enam bulan, tumbuhan ini akan mula berbunga. Tumbuhan ini berbuah sepanjang tahun tetapi akan berbuah dengan lebat serta bersaiz lebih besar sekiranya mendapat taburan hujan yang sangat banyak. Ada sesuatu yang unik tentang tumbuhan ini. Bunga buah naga ini hanya akan berkembang pada sebelah malam dan mula menguncup pada sebelah paginya. Buahnya pula boleh mencapai berat antara 150 gram hingga 500 gram.

Buah naga kaya dengan vitamin C dan beta kerotin. Buah ini bukan sahaja sedap dimakan mentah, malah dapat dijadikan jem, jus atau sirap. Buah naga kaya dengan pelbagai khasiat terutamanya dalam membantu sistem penghadaman, mencegah kanser usus besar dan penyakit diabetes serta merendahkan tekanan darah tinggi. Selain itu, buah naga dapat meneutralkan keracunan sumber logam, mengurangkan kolestrol, meringankan penyakit asma dan melegakan batuk.





1 comment:

  1. Menarik dan bersesuaian untuk dijadikan rujukan. Terima kasih kerana berkongsi ilmu.

    ReplyDelete